BLOG JIWA SENTAP

some_text
Home » » Guru Minta Maaf, Kes Paksa Makan Rumput Selesai

Guru Minta Maaf, Kes Paksa Makan Rumput Selesai

Written By Admin on Wednesday, January 29, 2014 | 8:38 PM

Guru Minta Maaf, Kes Paksa Makan Rumput Selesai

Sungkai: Polis menganggap kes hukuman tidak masuk akal terhadap dua murid tahun empat sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, di sini, yang leher mereka digantung loceng dan diberi makan rumput ketika sesi persekolahan pagi Khamis lalu, selesai selepas semua pihak terbabit berbincang.

 

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu bapa mengenai kes itu sehari selepas kejadian dan siasatan dijalankan sejurus laporan diterima.

“Dalam laporan yang kami terima, ibu seorang murid berkenaan, Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, mendakwa anak lelakinya berusia 10 tahun bersama seorang rakan sekelasnya didenda dengan dipakaikan loceng di leher oleh seorang guru Bahasa Inggeris kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.

“Ibu murid terbabit turut mendakwa, kedua-dua murid itu juga diberi rumput sambil guru berkenaan mengatakan ‘lembu tak buat kerja rumah mesti kena makan rumput’ dan merakam gambar mereka untuk dimuatnaik ke Facebook,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, hasil laporan diterima di Balai Polis Sungkai itu, ketua balai memanggil semua pihak yang terbabit dalam kejadian itu, termasuk kedua-dua murid itu.

“Perjumpaan itu turut dihadiri guru besar dan dua wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah. Dalam perbincangan itu, guru berkenaan mengaku mengenakan hukuman menggantung loceng di leher, tapi tidak memberi kedua-dua murid itu makan rumput.

“Guru itu mengaku memberi hukuman berkenaan kerana tidak menyiapkan kerja sekolah selama dua minggu, sedangkan murid terbabit berpotensi dalam subjek berkenaan dan dia memohon maaf,” katanya.
Som Sak berkata, ibu bapa dan sekolah kemudian bersetuju menyelesaikan kes itu secara baik serta menyerahkan tindakan lanjut terhadap guru itu kepada PPD.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Perak Muhamad Roli Hassan ketika dihubungi pula berkata, siasatan mengenai kes itu dijalankan PPD Batang Padang untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk tindakan tatatertib.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga Ahli Parlimen di kawasan kejadian berkata, hukuman dikenakan terhadap murid itu adalah tidak wajar.
Menurutnya, semua guru tanpa mengira jenis sekolah perlu lebih berhati-hati ketika mengajar dan mengenakan hukuman terhadap murid.

“Apabila menghukum, guru mesti melihat pantang larang dan sensitiviti masyarakat serta tidak boleh menghukum dengan cara yang akan dilihat sebagai memalukan,” katanya. -Harian Metro



Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jiwa Sentap - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger