BLOG JIWA SENTAP

some_text
Home » » Polis tahan 18 'askar' bersama senjata tiruan

Polis tahan 18 'askar' bersama senjata tiruan

Written By Admin on Monday, February 17, 2014 | 3:51 PM

Polis tahan 18 'askar' bersama senjata tiruan

SEGAMAT 17 Feb. - Polis menahan sekumpulan 18 lelaki yang lengkap berpakaian seragam tentera dan membawa senjata tiruan di sebuah kebun kelapa sawit di Jementah di sini petang semalam.


Mohd. Kamil Sukarmi (kanan) menunjukkan senjata api tiruan yang dirampas ketika 
mengadakan sidang akhbar di Segamat, Johor, semalam. - UTUSAN/MOHAMED SAARI

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd. Kamil Sukarmi berkata, kesemua lelaki itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang ternampak sepasukan ‘tentera’ asing sedang berkumpul di kebun berkenaan pada kira-kira pukul 2.15 petang.

Beliau berkata, laporan itu dibuat oleh pengadu di Balai Polis Jementah dan beberapa anggota polis dikerahkan ke kawasan yang dimaksudkan untuk melakukan siasatan.

"Pihak polis kemudian mendapati sekumpulan lelaki berpakaian celoreng bersama beberapa laras senjata api dipercayai sedang berkumpul dipercayai bagi menjalani latihan di situ," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini hari ini.

Menurut Mohd. Kamil, kumpulan tersebut terdiri daripada 17 warga tempatan berumur antara 20 hingga 40 tahun dan seorang lelaki warga Singapura yang berusia 22 tahun.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan juga menemui 14 laras senjata api tiruan pelbagai jenis seperti Sniper, AK47, Steyr AUG, M4 A1, 20 kelopak peluru senjata api tiruan dan pelbagai aksesori tambahan seperti walkie-talkie, bom asap, teropong dan lain-lain lagi.

"Senjata berkenaan didapati menggunakan bateri dan palet plastik sebagai peluru serta menyerupai 95 peratus senjata sebenar dan kebun sawit yang dijadikan tempat berkumpul tersebut milik bapa salah seorang suspek yang ditangkap," katanya.

Mohd. Kamil berkata, siasatan awal mendapati sebahagian daripada suspek menganggotai persatuan sukan menembak yang baharu sahaja didaftarkan di Johor Bahru pada tahun lalu dan belum mendapat sebarang kelulusan.

Ujar beliau, semakan juga mendapati tiada sebarang lesen dan permit yang dikeluarkan bagi memiliki senjata api tiruan berkenaan.

"Hasil siasatan awal juga mendapati senjata tiruan buatan China ini dibeli secara online sebelum dihantar kepada mereka. Daripada 18 orang yang ditangkap, empat daripada mereka telah dijamin kerana tidak terlibat secara langsung dan hanya berada di lokasi kejadian apabila tangkapan dilakukan.

"Jadi, saya nasihatkan orang awam yang telah membeli dan memiliki senjata api tiruan ini agar menyerahkannya kepada pihak polis kerana permit senjata api hanya dikeluarkan untuk senjata jenis ‘pump gun’ dan pistol sahaja," katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Jiwa Sentap - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger